Isnin, 5 Mei 2014

Permainan Menguji Minda

Permainan dalaman seperti sahiba, saidina dan monopoli merupakan permainan yang menjadi kegemaran kebanyakan kanak-kanak yang berkunjung ke Perpustakaan Desa (PD) Masjid Kampung Padang Luas. Permainan yang menguji minda ini bukan sahaja seronok dimainkan malah ia menggalakkan kanak-kanak supaya lebih kreatif dalam mencari jalan untuk memenangi permainan tersebut. Sebagai contoh, permainan sahiba mendidik para peserta untuk mencipta perkataan dengan menggunakan huruf yang terhad dan sekali gus memperkenalkan perkataan baru yang mungkin tidak pernah mereka kenal atau pelajari. Menurut laporan yang disediakan oleh Pembantu Perpustakaan, Che Mazlina Che Hashim, antara aktiviti yang telah diadakan pada bulan Jun dan Julai 2011 yang lalu ialah melukis, mewarna, membuat origami dan bermain permainan dalaman. Seramai 10 orang kanak-kanak telah menyertai aktiviti bermain permainan dalaman dan mewarna yang dianjurkan pada Julai 2011 yang lalu.

Aktiviti mewarna pula sudah menjadi kemestian dan turut digemari pengunjung PD yang rata-ratanya adalah kanak-kanak. Malah, aktiviti mewarna dilihat lebih bebas dan memberi peang kepada peserta untuk mempamerkan kreativiti masing-masing. Selain menetapkan aktiviti yang hendak dilakukan secara bulanan, PD turut memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memberi cadangan aktiviti yang mereka gemari. Mereka akan diberikan sehelai kertas untuk mencatatkan jenis aktiviti yang mereka ingin laksanakan di perpustakaan. Tujuannya adalah untuk mempelbagaikan aktiviti dan menarik penyertaan lebih ramai kanak-kanak untuk menyertai kegiatan yang dianjurkan di PD. Selain menyertai aktiviti di PD, kanak-kanak juga digalakkan untuk membaca dan meminjam buku bagi menggalakkan amalan membaca di kalangan mereka.(KK11: 23 Ogos 2011)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan